CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

PENGINTIP

Jumaat, 2009 Disember 18

Nak Marah Siapa, Nga Atau Umno?

Media melaporkan, MP Taiping Nga Kor Ming mempersoalkan peruntukan yang tidak seimbang untuk masjid dan kuil atau gereja. Peruntukannya ialah RM746.26j untuk masjid dan cuma RM9j saja untuk kuil atau gereja.

Dikira berdasarkan bilangan apa pun, samada bilangan orang bukan Islam di negara ini atau bilangan kuil, gereja, tokong dan sebagainya, pada fikiran Nga, peruntukan itu adalah tidak seimbang.

Saya tidak bersetuju dengan Nga kerana dia mempersoalkannya, tetapi saya tidak marah kepadanya secara sembrono seperti orang Umno.

Sekali lagi, samada Nga atau sesiapa sahaja, mereka tidak berhak mempersoalkan itu semua.

Tetapi, timbul persoalan, mengapa Nga mempersoalkannya? Apa agenda Nga? Adakah Nga tidak tahu bahawa apa yang dipersoalkannya itu boleh membangkitkan kemarahan orang Islam termasuk orang Islam yang tidak ke masjid?

Saya fikir Nga tahu implikasinya, tetapi mengapa dipersoalkan juga? Nga musuh Islam? Nga anti Islam? Atau, apa?

Umno / BN memerintah negara ini sudah 50 tahun lebih. Masjid dikuasai oleh Umno kecuali masjid Rusila dan Masjid Pulau Melaka. Daripada siak sampai imam besar, semuanya hendaklah diisi oleh orang Umno.

Jangan sesiapa yang cuba-cuba berani mengajar atau menyampaikan kuliah di masjid tanpa kebenaran, tangkap. Masjid dibuka untuk solat berjemaah, itu pun dengan bilangan jemaah yang tidak seberapa. Kadang-kadang yang ada cuma bilal dan cicak. Bilal jadi imam dan cicak tak mungkin jadi makmum.

Pada hari Jumaat pula, perhatikan, mana yang ramai antara yang dengar khutbah dengan yang lena atau separuh lena? Bunyi khutbah seperti kumbang dalam lubang. Ada makmum yang sudah boleh menghafal khutbah imam. Ada imam yang tak boleh baca khutbah kalau buku khutbahnya dicuri anak muda nakal.

Mengapa imam itu kekal sebagai imam juga? Ya, kerana dia Umno. Adakah Umno sedar perkara ini? Masjid tidak dibersihkan dengan sempurna, mengapa tidak ambil siak lain? Ya, kerana dia Umno.

Saya berani katakan, tidak banyak sangat manfaat yang diperolehi oleh orang Islam daripada masjid.

Selain tempat untuk solat, apa yang orang Islam boleh dapat di masjid? Masjid ada perpustakaan? Ada kemudahan internet? Ada kemudahan sukan? Ada gelanggang silat? Ada gelanggang debat? Ada wacana ilmiah yang berat-berat? Ada pusat khidmat masyarakat? Ada pasar? Ada ambulan? Ada kerta jenazah? Ada kemudahan kenduri? Ada bilik penginapan musafir? Ada tandas yang bersih? Ada…

Aaahh, jangankan itu semua, pejabat masjid pun tidak ada. Itu belum cerita kasut dan motosikal yang hilang di masjid.

Kalau orang Islam sendiri tidak mendapat banyak manfaat daripada masjid selain sekadar simbol sahaja, apa pula manfaat yang diperolehi oleh orang bukan Islam? Saya ulangi, apa manfaat yang diperolehi oleh orang bukan Islam daripada masjid termasuk daripada Masjid Negara dan Masjid Putrajaya?

Masjid adalah sinonim dengan Islam. Islam adalah rahmat, demikian juga masjid. Islam rahmat untuk semua termasuk untuk orang bukan Islam, demikian juga masjid.

Kini, apa yang orang bukan Islam tahu daripada masjid ialah, masjid mengganggu tidur mereka pada waktu pagi dengan bacaan al-Quran daripada kaset sebelum masuk waktu Subuh lagi. Ini kerja siapa?

Lebih jauh lagi, mereka bukan mendapat manfaat, terkadang dihalau orang bukan Islam yang cuba mendekati masjid.

Kesimpulannya, masjid menjadi institusi yang dirasakan oleh orang bukan Islam sebagai memusuhi mereka. Pernahkah pimpinan masjid kita membantu orang bukan Islam yang menderita dan terlantar atau ditimpa musibah?

Aaahhh, jangankan orang bukan Islam, orang Islam pun tidak dibantunya. Jangankan pimpinan masjid kita membantu orang Islam yang tidak ke masjid, yang berulang-alik ke masjid pun tidak dibantunya. Apatah lagi orang bukan Islam.

Apa yang pimpinan masjid tahu ialah marahkan orang yang tidak datang ke masjid.

Sebab itu saya katakan, saya tidak setuju Nga membangkitkan perkara itu tetapi saya tidak marah kepadanya secara sembrono. Bukan kerana dia DAP, tetapi kerana kalau kita marahkan dia pun, tetapi masjid kita tetap begini juga, apa gunanya?

Nga mempersoalkan itu kerada dia merasakan dia dan orang-orang bukan Islam yang lain tidak mendapat apa-apa daripada kewujudan sekian banyak masjid di negara ini.

Orang Islam pula dapat apa daripada kuil? Ya, kalau daripada masjid kita mereka tidak mendapat apa-apa, mengapa kita mengharap sesuatu daripada kuil atau tokong mereka?

Dalam isu ini saya marahkan Umno kerana parti itu yang merosakkan institusi masjid kita. Mereka hanya tahu bina, itu pun untuk membela kontraktor mereka tetapi tidak tahu memanfaatkannya. Mereka bina masjid kemudian mereka ‘kunci’ masjid.

Masjid rosak bukan kerana digunakan tetapi kerana jarang digunakan. Apabila rosak, masjid pun dibaiki. Kerja-kerja membaikinya dapat kepada kontraktor Umno lagi. Masjid jadi tempat Umno buat duit bukan tempat ibadat dan membantu masyarakat.

Apa anda lupa bahawa Umno pernah merobohkan masjid? Anda lupa bahawa Mufti dilarang masuk masjid?

Mengapa masjid kita rosak? Kerana dikuasai oleh Umno. Siapa lebih layak kena marah, Nga atau Umno? Benar, lebih baik marahkan Umno daripada marahkan Nga.

Sumber

Jumaat, 2009 Disember 04

MALAIKAT MENAWARKAN KEDUDUKAN RAJA KEPADA RASULULLAH S.A.W

Menurut Ibnu Taimiyah dalam kitabnya “Al-Furgan Baina Aulia ir Rahman wa Auliais syaitan”,mengatakan bahawa para Nabi itu juga dapat dibahagikan kepada dua golongan.Pertama “Hamba Rasul” dan ke dua “Nabi Raja”.Kemudian Allah membolehkan Nabi Muhammad SAW untuk memilih menjadi “Hamba Rasul” atau “Nabi Raja ”.Maka Nabi Muhammad SAW memilih menjadi “Hamba Rasul”.

Dalam sebuah hadith yang meriwayatkan oleh Ahmad, ” Jibril duduk ndi samping Nabi Muhammad SAW melihat langit,maka ketika itu seorang malaikat turun.Jibril berkata : ”bahawa malaikat ini belum pernah turun sejak diciptakan makhluk ”.Ketika ia telah turun dia berkata : “Ya Muhammad aku diutuskan oleh Tuhan Engkau kepada Mu”,Dia berkata Allah menjadikan engakau “Nabi Raja” atau “Hamba Rasul”.Kemudian Jibril berkata : “Ya Muhammad tawadhuklah kepada Allah!” Nabi menjawab : “Ya saya “Hamba Rasul” ” ”.

Ada pun seorang Nabi dan langsung menjadi raja seperti Nabi Sulaiman,Nabi Daud dan lain-lain.”Nabi Raja” mengerjakan apa yang di wajibkan oleh Allah kepadanya dan tidak melakukan apa yang diharamkan oleh Allah kepadanya.Ia menjalankan pemerintahan atau kerajaannya dan membelanjakan harta negara terhadap hal-hal yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT.Mereka menghindari dari sesuatu yang dapat menimbulkan dosa.

Ada pun “Hamba Rasul”, tidak memberikan sesuatu kepada seseorang kecuali dengan perintah Allah SWT.Ia tidak memberikan kepada siapa yang dikehendakinya dan tidak menghalangi kepada sesiapa yang dikehendakinya,dia hanya memberi dan menghalangi atas perintah Allah SWT.Ia menjalankan kewaliannya adalah ibadah.

Dalam Shahih Bukhari dari Abi Hurairah Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya aku demi Allah,aku tidak memberi dan tidak menolak seseorangpun hanya pembagi yang mengerjakan atas perintah Allah dan kerana itulah Allah menyandarkan harta benda syariat itu kepada Allah dan Rasul”

Selasa, 2009 September 08

Nasyid Jihad to Ahmad Yasin

Isnin, 2009 September 07

Siapa "Mereka"? Siapa "Kami"?

?
Tajuk kali ini ana pilih adalah "Siapa "Mereka"? Siapa "Kami".

Adakah "Mereka" saudara kita?
Adakah "Mereka" sebangsa dengan kita?Atau adakah "Mereka" seagama dengan kita?

Renung-renungkan...

Siapa "Mereka" yang merempit di jalanan?

Siapa "Mereka" yang terbabit dengan pelacuran?

Siapa "Mereka" yang merangut di sana-sini?

Siapa "Mereka" yang memperkosa gadis-gadis?

Siapa "Mereka" yang minum arak dan penagih dadah?

Siapa "Mereka" yang terlibat dengan seks bebas?

Siapa "Mereka" yang bangga dengan bangsa tanpa agama?

Siapa "Mereka" yang membuang anak luar nikah?


Siapa "Mereka"?Adakah "Mereka" melakukannya kerana jahil dengan ilmu agama?Adakah "Mereka" melakukannya kerana tiada undang-undang agama?Adakah "Mereka" jahil kerana KITA TIDAK MENEGUR MEREKA?

"Mereka" adalah saudara kita
"Mereka" adalah sebangsa dengan kita
"Mereka" juga adalah seagama dengan kita
"Mereka" juga adalah kalangan remaja-remaja atau mahasiswa & mahasiswi yang bakal memimpin negara kelak.

"Mereka" bakal menjadi pemimpin negara kelak namun "Mereka" tidak layak menjadi pemimpin,bukan saja tidak mampu menjadi pemimpin negara malah "Mereka" tidak mampu memimpin diri "Mereka" sendiri.

Kita lihat senario "Mereka" pada waktu ketika ini.Adakah kita mahu pemimpin negara akan datang berjiwa seperti "Mereka"?Adakah kita mahu akan datang "Mereka" menjadi pemimpin negara yang bakal merosakkan kerajaan yang sedia rosak?

Ana yakin kita semua tidak mahu "Mereka" menjadi pemimpin akan datang dan ana yakin kita semua mahu "Kami" yang menjadi pemimpin akan datang.

Siapa "Kami" itu?

"Kami" taat pada Allah dan Rasul

"Kami" berpendidikan dan berjiwa pendidik

"Kami" merdeka dari sebarang bentuk penjajahan

"Kami" tegas dan maju dalam perbagai bidang

"Kami" cemerlang dalam dunia dan akhirat

"Kami" kami yang sedia dipimpin dan menjadi pemimpin


Namun amat dukacitanya terlalu sedikit golongan "Kami"."Mereka" pelik dengan "Kami" kerana "Kami" tidak seperti "Mereka".

Award?

Alhamdulillah...
Baru balik saja dari terawih dan berjumpa saudara Naim ( sahabat ana dan anak sahabat ana (ana pun bersahabat dengan ayahnye)).Saja jumpa saudara Naim asbab tahun ini dia cuti.

On9 saja blog dan lihat chat box,ada sahabat baru blog ana memberi award.Syukran atas award tersebut dan ana terima dengan tangan terbuka.Bak pepatah Melayu "Rezeki jangan ditolak,musuh jangan di cari".

Ini adalah award dari sahabat baru blog ana iaitu saudari Farah


Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada mu.Amin..

Sabtu, 2009 September 05

Kesilapan Muslim dalam Bulan Ramadhan


Kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif 'taqwa' telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang ana maksudkan adalah :-


1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).

Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. . Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)


2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.

Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)


3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.

Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)


4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih.

Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.


5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.


6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.

Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.


7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.

Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)


8 ) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari

Dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.


9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.

Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)


10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur.

Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)


11) Wanita berterawih beramai-ramai dimasjid tanpa menjaga aurat.

Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.


12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram,

Samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.


13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.

Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Dari sahabat ke sahabat

Isnin, 2009 Ogos 31

Menutup Aurat Lindungi Wanita Islam

TIDAK dapat dinafikan, wanita pada hari ini telah memberikan sumbangan yang besar kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi negara. Dewasa ini terdapat sekian ramai wanita Islam yang bekerja sama ada di sektor awam mahu pun swasta. Bilangan ini semakin hari semakin bertambah dan tentunya mengundang pelbagai persoalan terutama dari aspek berpakaian. Adakah sesuai atau tidak pakaian yang dipakai oleh wanita berkenaan semasa bekerja iaitu dari sudut moral dan lebih-lebih lagi dari sudut agama.

Dalam hubungan ini, Islam tidak mensyaratkan jenis, bentuk serta potongan pakaian yang tertentu yang seharusnya dipakai oleh seseorang wanita itu.


Apa yang dikehendaki oleh agama ialah menutup aurat dan menjaga kesopanan serta kebersihan ketika bekerja. Untuk itu, wanita-wanita yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah sudah semestinya mereka merasa terikat dengan peraturan dan hukum-hukum syarak dan sentiasa sedaya-upaya pula melakukan sesuatu yang diredhai Allah s.w.t.

Fenomena yang wujud pada masa ini iaitu pelbagai bentuk fesyen yang kebanyakannya masih mendedahkan aurat adalah berpunca daripada tiadanya kesedaran atau kefahaman terhadap peraturan pakaian yang sebenar menurut Islam. Oleh sebab itulah masih terdapat sebahagian umat Islam yang tidak faham tentang pengertian aurat itu sendiri. Hakikatnya, di dalam Islam tidak ada satu peraturan yang tertentu dalam menentukan jenis pakaian, Ia telah menetapkan bahawa aurat wanita ialah keseluruhan tubuh badannya kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan hingga pergelangannya yang wajib ditutup.

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa perubahan fesyen pakaian wanita sekarang begitu berkembang luas. Perubahan ini mempengaruhi apa juga keadaan baik dalam keadaan bekerja atau pun tidak. Walaubagaimanapun, harus diingat, Islam itu bukan agama yang sempit dan menyusahkan umatnya. Islam juga tidak menentang pemodenan tetapi biarlah kemodenan itu menjurus ke arah yang betul dan tidak terkeluar dari lunas-lunas yang telah ditentukan oleh hukum syarak.

Terdapat sebilangan orang merasakan tidak ‘moden’ atau ‘up to date’ apabila mereka tidak mengikuti perkembangan fesyen. Pendapat ini sebenarnya tidak salah sekiranya dia berpendirian untuk menjaga ketentuan hukum syarak yang tidak boleh diabaikannya. Namun apa yang menjadi masalah sekarang ialah terdapat mereka yang mengikuti perubahan fesyen hanya memenuhi keinginannya semata-mata tanpa memahami batas-batas aurat dalam Islam.

Dalam menjaga kesejahteraan umat, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan tentang etika berpakaian yang mesti dipatuhi. Di antara garis panduan itu ialah mengharamkan pendedahan aurat di kalangan wanita Islam di hadapan orang-orang yang bukan muhrimnya. Penutupan aurat menurut pandangan Islam adalah berdasarkan syarat-syarat berikut :

Menutup seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua belah tangan.

Islam telah menentukan batas-batas yang harus (boleh) dibuka iaitu muka dan dua tapak tangan, manakala bahagian-bahagian lainnya pula wajib ditutup. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah. Wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur : 30 – 31)

Berpakaian yang tidak membayangkan kulit dan bentuk tubuh.

Antara tujuan berpakaian menurut Islam ialah untuk menutup atau melindungi bahagian-bahagian tertentu pada badan. Tetapi sekiranya wanita tersebut memakai pakaian yang nipis atau jarang sehingga boleh dilihat warna kulitnya dan aurat yang sepatutnya ditutup, maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Wanita yang berpakaian sebegini disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai wanita berpakaian tetapi berbogel. Mereka bukan sahaja dilaknat oleh Allah s.w.t. tetapi juga tidak berpeluang untuk mencium bau syurga. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :
“Akan terdapat pada akhir-akhir umatku (kaum wanita) yang berpakaian menutup badan dan telanjang (yang berpakaian nipis atau membayangkan kulit badan/bentuknya), atas kepala mereka, laknatilah mereka sesungguhnya mereka golongan yang terlaknat.”

? Tidak memakai pakaian yang ketat.

Antara tujuan menutup aurat ialah untuk mengelak dari berlakunya fitnah. Sekiranya wanita itu berpakaian ketat sehingga jelas kelihatan potongan badan dan bahagian-bahagian anggota tubuh badannya maka keadaan ini boleh menimbulkan fitnah yang berakhir dengan pelbagai bentuk jenayah yang dikutuk oleh agama.

Usamah Bin Zaid menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Kalbi dan Rasulullah menghadiahkan pula kain tersebut kepada beliau (Usamah) untuk dibuat pakaian, tetapi Usamah pula memberikan kain tersebut kepada isterinya. Suatu hari Rasulullah bertanya Usamah, “Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?” Usamah menjawab, “Aku telah berikannya kepada isteriku.” Lalu Rasulullah berkata kepada Usamah : “Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya kerana aku bimbang sekiranya kain tersebut tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu).”

Tidak memakai bauan yang boleh menarik perhatian lelaki.

Abu Musa al-Asy’ari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan supaya dihidu bau wangi yang dipakainya, maka dia dikira berzina.”

Zainab al-Thaqafiah pula menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
“Jika salah seorang daripada kamu (kaum wanita) keluar untuk beribadat di masjid, janganlah memakai bau-bauan.”

Jika difahami maksud hadis tersebut, kaum wanita yang hendak ke masjid pun dilarang memakai bau-bauan apatahlagi bagi mereka yang keluar bersiar-siar, ke tempat kerja dan sebagainya. Sudah tentu kesalahannya di sisi agama lebih besar.

Pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki.

Menurut hadis-hadis sahih dari Rasulullah s.a.w., dapat difahami bahawa Allah s.w.t. melaknat wanita yang meniru pakaian lelaki dan lelaki yang meniru pakaian wanita. Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : “Rasulullah telah melaknat orang-orang lelaki yang berpakaian perempuan dan orang-orang perempuan yang berpakaian lelaki.”

Ini bersesuaian dengan sifat tabi’i seorang wanita di mana Islam menyarankan agar kaum wanita memakai pakaian-pakaian yang sesuai dengan sifat dan kejadian mereka, lemah-lembut dan bersopan-santun.

Secara kesimpulannya, Islam mewajibkan ke atas setiap wanita supaya memakai pakaian yang menutup aurat iaitu menutup seluruh badannya kecuali muka dan dua belah tangan. Mereka juga hendaklah memilih jenis-jenis kain yang tidak membayangkan warna kulit dan tidak juga memperlihatkan bentuk tubuh badan. Begitu juga dilarang ke atas mereka untuk menghiasi pakaiannya dengan hiasan-hiasan dan bau-bauan yang boleh mempesona atau menarik perhatian ramai dan menimbulkan fitnah.

Sesungguhnya, Islam tidak menentukan fesyen dan bentuk pakaian yang mesti dipakai oleh seseorang wanita itu sama ada pada masa bekerja atau pun tidak. Apa yang penting ialah ianya tidak berlawanan dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak.

SUMBER : Artikel ditulis oleh : Ahmad Tarmizi Zakaria